Bersempena
roh bulan Zulhijjah sama-samalah kita mengambil pengajaran daripada
ibadah haji iaitu berkumpulnya orang-orang mukmin yang pancainderanya
berfokus membesarkan dan mengagungkan Allah S.W.T. Mudah-mudahan
muktamar kita mendapat keberkatan daripada Allah SW.T.
Sidang muktamar yang di rahmati Allah S.W.T sekalian,
Luka umat Islam di Syria, Mesir, Iraq, Rohingya dan lain-lain belum pun sembuh, umat
Islam diasak lagi dengan serangan brutal Zionis dalam Ramadhan
baru-baru ini kepada penduduk Ghazzah tanpa memilih mangsa. Ribuan
golongan yang lemah dijadikan sasaran seperti kanak-kanak, wanita dan
warga tua. Kemudahan dan premis-premis awam juga dibom tanpa belas
kasihan. Mengingati kata-kata daripada tulisan Ismail Haniyyeh Perdana
Menteri Palestin di dalam tweeternya selepas peristiwa serangan bom
Israel ke atas penduduk Ghazzah.
"Kami tidak kembali berhajat agar mereka
(Mesir) membuka pintu sempadan Rafah untuk kami, sedangkan Allah telah
membukakan mi'raj ke langit untuk kami menuju syurga-Nya dan nikmat-Nya
(syahid). Berjiran dengan Allah terlebih baik daripada berjiran dengan
orang yang zalim"
Marilah muslimat sama-sama kita jadikan
pintu perjuangan ini sebagai pintu mendapat redha Allah S.W.T. Selain
bantuan kewangan dan doa yang dihulurkan kepada saudara kita di Gaza dan
Palestin, refleksinya kepada umat Islam seluruh dunia ialah lakukan
jihad di negeri-negeri kamu sendiri. Namun bagi kita di sini, di Negara
Malaysia yang tercinta ini jihad kita adalah jihad menyedarkan
masyarakat untuk kembali kepada Allah S.W.T. Walaupun tidak seberat
dengan tugas saudara kita di Palestin tetapi ianya adalah satu tugasan
yang amat besar.
Malaysia sendiri ditimpa musibah demi
musibah seperti kehilangan MH370 tanpa dapat dikesan sehingga hari ini
dan tragedi MH17 yang sangat menyentuh hati. Dalam menghadapi situasi
ini, kita sebagai penggerak Harakatul Islamiyyah tetap konsisten untuk
menjadi sebahagian anggota badan dari ummah yang mana apabila satu-satu
bahagian terasa sakit, maka seluruh tubuh akan berjaga malam tidak lena
tidur. Dengan itu, segala usaha dan kudrat yang ada, kita persembahkan
buat saudara-saudara Islam kita tidak kira di mana mereka berada sama
ada melalui tekanan politik, boikot ekonomi kuffar harbi, derma dan
sedekah berterusan, bantuan kemanusiaan dari aspek sukarelawan dan
kesihatan serta senjata doa dan qunut nazilah.
Antara jihad yang saya kira perlu
konsisten ialah menggerakkan kempen solat berjemaah di surau dan masjid
seperti yang diakui oleh pemimpin Yahudi terdahulu, bahawa mereka akan
gerun dengan umat Islam apabila situasi solat subuh berjemaah sama
seperti solat Jumaat. Sama-samalah kita melaksanakan kempen ini di dalam
diri kita, suami, anak-anak dan ahli keluarga, jiran-jiran terdekat
kita dan ahli PAS khususnya. Kempen sebegini boleh juga dilaksanakan
dalam perancangan aktiviti-aktiviti PAS di semua peringkat seluruh
Negara. Jadi, seharusnya kita mengimarahkan institusi masjid dan dengan
pelbagaikan aktiviti-aktiviti seperti majlis-majlis ilmu untuk muslimat
dan program-program keremajaan seperti Smart Solat dan sebagainya.