KERATAN AKHBAR SINAR HARIAN
RANTAU PANJANG: Bercakap tentang wakil rakyat di
parlimen Rantau Panjang, Kelantan, rata-ratanya sangat mengenali Siti
Zailah Mohd Yusoff atau lebih mesra dengan panggilan K.Lah oleh
masyarakat di sini.
Mungkin ada yang mengenalinya kerana pernah
bertemu secara peribadi, atau rumahnya didatangi wakil rakyat ini
ataupun melihatnya di poster-poster ceramah dan mungkin juga bertemu di
pusat penempatan banjir dan pernah menerima sumbangan darinya.
Zailah
bukan nama kecil di Rantau Panjang. Sejak 2008 menjadi wakil rakyat di
sini, khidmat dan kesungguhannya menjalankan tanggungjawab sebagai YB,
diakui oleh semua masyarakat.
Jika biasa, masyarakat hanya boleh
melihat wakil rakyatnya bila ada majlis keraian, kenduri kendara,
kematian dan juga musibah, namun Zailah ini terkenal dengan 'kemunculan
tanpa diduga'.
Biarpun tanpa jemputan rasmi, wakil rakyat PAS ini
sendiri mengatur jadual melakukan ziarah rumah ke rumah penduduk di
kawasannya.
Uniknya, beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS
tidak pernah berkira soal perbezaan politik, dan menganggap semua
masyarakat di sini adalah saudara-maranya.
Tidak hairanlah jika beliau disegani bukan sahaja oleh kawan-kawan malah juga pihak lawan.
"K.Lah
selesa dengan pendekatan kasih sayang. Semua golongan di sini K.Lah
santuni dengan hormat dan kasih sayang kerana menganggap mereka seperti
saudara-mara K.Lah sendiri.
"Tak kira PAS ke Umno ke, K.Lah jumpa
semua. Bagi K.Lah, perbezaan bendera dan warna bukan tembok penghalang
untuk kita berkasih sayang seperti dianjur oleh agama Islam," katanya
kepada Harakahdaily.
Sepenggal menjadi wakil rakyat di sini,
Zailah dilihat telah meletakkan asas yang kukuh buat PAS untuk terus
memberi khidmat kepada masyarakat di sini.
Setiap kali musim
tengkujuh contohnya, K.Lah antara wakil rakyat yang akan sibuk
menyiapkan bantuan kepada rakyatnya di sini yang berkemungkinan berdepan
masalah banjir ekoran kedudukannya bersebelahan Sungai Golok.
Bila
berlaku sahaja banjir, beliau akan turun ke pusat penempatan,
menyampaikan bantuan serta meluangkan masa bersama rakyat bagi merasai
kesusahan mereka.
Boleh dikatakan hampir setiap rumah yang
terlibat dengan banjir di sini sudah biasa menerima bantuan bekalan
makanan khususnya beras dari K.Lah.
Bercakap soal calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pula, nama K.Lah terus menjadi sebutan masyarakat di sini.
Bukan
sahaja di kalangan masyarakat, khidmat K.Lah juga turut diakui oleh
jentera BN yang sehingga kini masih berbalah soal calon mereka.
Pada
PRU 2008 lalu, Zailah menang dengan majoriti 4,486 undi apabila
memperolehi 19,344 undi berbanding calon BN Mohd Afandi Yusoff 14,858
undi dan calon bebas Isma Airfath Hassanuddin yang memperolehi 330 undi.