Saturday, October 25, 2014

Hijrah : Wanita, Isteri, Ibu Pencetus Perubahan

Assalammualaikum w.b.t
Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan selamat menyambut ulangtahun Hijrahtur-Rasul 1436Hijrah kepada semua khususnya umat islam di Malaysia.

Sama-sama kita syukuri kehidupan yang sudah berlalu dan meletakkan azam perubahan menjadi insan yang lebih dekat kepada Allah S.W.T, berakhlak mulia, rendah hati, tenang dan bahagia.

Firman Allah S.W.T
Maksudnya: "Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui. (Iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal.." Surah An-Nahl 16: 41-42.

DMPM melihat antara perubahan besar akhlak seorang insan bermula di rumah melalui seorang wanita yang berperanan sebagai individu, isteri, ibu, kakak, jiran dan komuniti. Pepatah arab ada menyebut bahawa seorang ibu itulah madrasah anak-anaknya. Ibu berperanan mendidik anak-anak mengaplikasikan ilmu kehidupan yang sebenar iaitu islam sebagai satu cara hidup.

Sama-sama kita lihat kembali bentuk kehidupan keluarga yang perlu diperbaiki sempena tahun baru kali ini.
  1.  Amalan islam - perbaiki akhlak diri, perkemaskan solat, bacaan dan tadabur al quran bersama anak-anak dan keluarga
  2. Keharmonian rumahtangga - masak dan makan bersama, peruntukkan masa berkualiti dengan keluarga
  3. Kebersihan dan kekemasan rumah kediaman sebagai syurga buat suami dan keluarga
  4. Pengurusan ekonomi rumahtangga yang berhemah dan bijaksana sesuai dengan keadaan ekonomi semasa
  5. Penglibatan dalam masyarakat - mengambil peduli perkembangan isu dan situasi semasa dan berusaha membantu membuat perubahan yang terbaik

DMPM juga mengambil kesempatan ini menyampaikan mesej kepada pemimpin negara untuk berhijrah membawa perubahan dalam menguruskan negara. Di bidang ekonomi, berhijrahlah dari ekonomi riba' kepada ekonomi yang diredhai Allah S.W.T. Dalam bidang pendidikan berhijrahlah kepada dasar pendidikan berteraskan wahyu dan menumpu kepada pembinaan akhlak insan. Dalam bidang politik pula berhijrahlah dari politik sekular kepada politik islam yang mengambil kira dosa pahala dalam setiap urusan. Akhirnya penghijrahan yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan selari dengan tuntutan Allah S.W.T ibarat seorang suami dan ayah dalam rumahtangga, peranannya sangat besar memimpin
ahli keluarga iaitu rakyatnya berhijrah menuju syurga. InsyaAllah.

Sekian.

YB Hajjah Siti Zailah bte Mohd Yusoff
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia

Sunday, October 19, 2014

Larangan menyangka buruk

.
Petang itu kedengaran rungutan tangga sudah tidak terbendung lagi . Dia terus berleter.
“Penat letih jadi tangga. Waktu orang naik, aku kena pijak. Waktu turun pun orang pijak aku. Seronok jadi atap. Tak pernah kena pijak. “
Mendengarkan kata kata tangga. Atap terus bersuara.
"Hoi tangga. Aku lagi sakit tau. Berpanas berhujan siang malam. Mendidih kepanasan bila tengahari. Bila hujan aku terpaksa menahan kesejukan. Yang seronok jadi tiang. Tak kena panas. Tak kena hujan. Tak kena pijak.”
Mendengarkan kata atap, tiang terus bersuara.
“Mana kamu tahu? Aku dok tahan pikul atap, segala alang rumah bertan-tan siang malam. Aku terpaksa pikul jugak. Tuhan saja tahu betapa beratnya. Yang seronok jadi dinding. Tak payah pikul. Tak kena panas. Tak kena pijak.”
Mendengar kata-kata tiang, lalu dinding menjawab.
“Akulah pelindung khazanah rumah ni. Aku lindung aurat tuan rumah, hartanya bahkan aku terpaksa jaga sepanjang masa. Kalau aku tak ada semua tak guna.“
Wahai anakku,
Aku ceritakan ini untuk mengingatkan engkau bahawa setiap manusia mempunyai tugasnya sendiri. Kamu buatlah kerja yang diamanahkan padamu sebaiknya. Jangan sesekali engkau berdengki pada orang lain. Sebab mata kamu hanya dikurniakan penglihatan daripada segi zahirnya sahaja. Sedangkan realitinya mungkin tidak seindah yang kamu lihat di minda. Jadilah diri sendiri, jangan cuba
jadi orang lain.
Manusia hari ini suka sangka-sangka
Ada sangka baik
Ada sangka buruk
Orang beribadah disangka riak
Orang rileks disangka malas
Orang berpakaian baru disangka menunjuk
Orang berpakaian buruk disangka hina
Orang makan banyak disangka pelahap
Orang makan sedikit disangka diet
Orang yang senyum disangka mengejek,
Orang yang masam disangka merajuk
Orang berbincang disangka mengumpat
Orang yang diam disangka menyendiri
Orang yang menawan disangka menggoda
Orang yang ceria disangka mengada
Orang yang bertanya disangka menyibuk
Hakikatnya...
Mana tahu yang senyum itu kerana bersedekah
Mana tahu yang masam itu kerana
mengenang dosa
Mana tahu yang berbincang itu memberi pendapat
Mana tahu yang diam itu kerana beribadah
Mana tahu yang menawan itu bersih wataknya
Mana tahu yang ceria itu cerdas mindanya
Mana tahu yang bertanya itu perihatin orangnya
Justeru itu….
Sesuatu perkara yang kita lihat
Jangan suka sangka-sangka
Sikap sangka-sangka akan memusnahkan jiwa
Kerap sangka-sangka mengundang celaka
Jangan terlalu bersangka-sangka
Jauhi sikap sangka-sangka
"يأيها الذين ءامنوا اجتنبوا كثيرا من الظن إن بعض الظن إثم.."
"Wahai org2 yg beriman jauhilah kamu semua kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.."
(AlHujurat:12)